‘Bayarlah Apa Sepatutnya’, Pinta Shafie Kepada Petronas

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SIPITANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sekali lagi menegaskan bahawa tuntutan cukai jualan ke atas Petronas dilakukan kerana itu memang hak Sabah.

“Saya cuma nyatakan, bayarlah apa yang sepatutnya menjadi hak Sabah.

“Saya tidak akan bawa (ke mahkamah) sekiranya Petronas bagi apa yang mereka bagi kepada Sarawak. Saya hanya menyatakan hak yang ada. Kalau hak Sarawak mereka boleh berikan, kenapa hak Sabah mereka tidak berikan.

“Tidak payah kita pertikaikan memandangkan kita dalam sebuah negara,” katanya ketika mengulas tindakan Datuk Seri Anifah Aman yang mempersoalkan kelantangannya bersuara untuk menyaman Petronas jika cukai SST produk petroleum tidak dibayar kepada Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Bersama Rakyat Sindumin, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, bila beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu bukan bermakna, beliau terus mahu mengheret Petronas ke mahkamah.

Katanya, jika Petronas tidak bagi mana yang sepatutnya menjadi hak Sabah maka, ia perlu diselesaikan dengan cara begitu.

“Saya bersuara mewakili rakyat Sabah. Demi pertahankan hak yang ada, kita perlu membawa ke landasan yang sepatutnya.

“Bukan niat saya mahu heret Petronas. Saya sudah berunding berbulan-bulan, selama 26 bulan berunding,” ujarnya.

Menurutnya, beliau bersyukur di bawah pemerintah kerajaan dahulu mereka bersetuju dengan beberapa pendekatan. Tun Mahathir juga bersetuju 20 peratus royalti ditukar kepada pemilikan saham supaya Sabah dan Sarawak miliki saham dalam Petronas.

Dengan itu, Sabah bukan hanya menerima royalti tetapi juga dividen tahunan daripada Petronas.

Sebelum ini, Mohd Shafie menyatakan akan mengheret Petronas ke mahkamah jika gagal membayar cukai jualan produk petroleum kepada Sabah.

Anifah menerusi satu kenyataan mempertikaikan kenapa baru sekarang Shafie bersuara mengenai tuntutan cukai petroleum itu.

Katanya, sekiranya berita Sarawak menerima SST Petronas tidak keluar, adakah Ketua Menteri Sabah itu akan terus berdiam diri tentang isu ini?.