Bayar Balik Pinjaman PTPTN, Pesan MP Kota Kinabalu

77

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin mengingatkan pelajar yang menerima tawaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya membayar balik pinjaman setelah tamat pengajian kelak.

Peringatan itu diberi ke atas 226 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN bagi Parlimen Kota Kinabalu dalam Majlis Penyerahan WPP PTPTN, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, PTPTN mengalami bebanan kewangan yang serius kerana daripada RM54.7 bilion pinjaman yang telah ditawarkan sehingga September tahun lalu, hanya RM13.86 bilion sahaja pinjaman yang sudah dibayar.

“Daripada jumlah itu, RM2.74 bilion pinjaman tidak pernah dibayar balik oleh peminjam.

“Jadi sekiranya keadaan ini berterusan, berkemungkinan generasi akan datang tidak dapat menerima tawaran tabung pendidikan ini,” katanya.

Chan berkata, walaupun sebelum ini Kerajaan Baharu berjanji bahawa hanya mereka yang berpendapatan RM4,000 ke atas sahaja perlu membayar balik pinjaman tetapi, apabila melihat jumlah sebenar pinjaman tidak berbayar, semakan semula perlu dilakukan.

Berikutan itu, satu konsultasi rakyat telah dilaksanakan pada Mei lalu. Bagaimanapun, belum ada keputusan mengenai kaedah terbaik pemotongan yang akan digunakan.

“Banyak cadangan sudah dibincangkan dalam sesi konsultasi itu cuma belum ada keputusan muktamad yang diambil.

“Untuk itu, saya menyeru pelajar dari kawasan Kota Kinabalu ini supaya bayar balik pinjaman setelah tamat pengajian,” ujarnya.

Dalam majlis itu, sebanyak RM339,000 wang pendahuluan diberikan kepada 226 pemohon yang menerima WPP PTPTN.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengurus Besar PTPTN Mohd Shahrom Yusoff.