Bawa Barangan Seludup, 2 Ditahan

TAWAU : Cubaan menyeludup pelbagai jenis barangan dari negara jiran dengan menggunakan sebuah bot kargo, digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang melaksanakan rondaan Ops Cegah PATI Selatan di perairan Tawau, pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, bot kargo itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari sempadan perairan negara menuju ke
arah muara Sungai Tawau dan ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia pada kedudukan 1.1 batu nautika selatan Batu Tiga, kira-kira 4.15 pagi tadi.

Pemeriksaan mendapati bot kargo itu dikendalikan seorang tekong rakyat tempatan berusia 32 tahun dan membawa seorang penumpang wanita rakyat tempatan berusia 35 tahun.

Pemeriksaan lanjut ke atas bot kargo terbabit menemukan pelbagai jenis barangan yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Antaranya 1,171 helai kain batik buatan Indonesia, 500 helai kain pelikat jenama Gajah Duduk,1,445 helai pakaian wanita, 2,125 ketul gula merah, 2,688 botol losyen badan jenama Bengkoang serta 24 tong gas petroleum cecair (LPG) kosong.

Tekong juga gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit berkaitan muatan yang dibawa.

Kedua-dua suspek bersama bot dan muatannya dibawa ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kargo dan enjin bot dianggarkan berjumlah RM141,000.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.