Bawa Barang Kawalan Tanpa Permit, Dua Bot Kargo, Tekong Ditahan

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan dua bot kargo, kerana disyaki membawa barang kawalan tanpa permit, di sini petang semalam.

Penahanan dibuat di kedudukan 1.9 batu nautika timur laut Kuala Sungai Melayu, di sini, kira-kira jam 5.15 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata bot Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Ops Sejahtera mengesan dua bot kargo bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan ke atas sebuah bot kargo yang dikendalikan seorang tekong lelaki rakyat tempatan berusia 55 tahun itu, mendapati bot berkenaan membawa muatan kotak polistren tidak berisi.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot tersebut menemukan 5 tong gas LPG yang
disembunyikan di bawah timbunan kotak polistren di dalam bot kargo tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Katanya pemeriksaan dokumentasi mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan kawalan yang dibawa.

“Pemeriksaan berasingan ke atas sebuah lagi bot kargo yang dikendalikan oleh seorang tekong rakyat tempatan berusia 49 tahun, menemukan muatan barangan runcit serta 22 tong gas LPG yang disembunyikan di ruang tertutup di dalam bot kargo tersebut.

“Pemeriksaan dokumentasi juga mendapati tekong gagal mengemukakan lesen bot serta dokumen berkaitan barangan kawalan yang dibawa.”

Menurutnya kedua-dua tekong serta bot dan muatannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot kargo, enjin bot dan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM80,000.

Shahrizan berkata Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti
yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).