Batu-Batu Dibuka Sementara Untuk Pendaratan Bot Kecil Dari Pulau Sebatik

Bot-bot penumpang asing sering mendominasi kawasan jeti Batu-Batu Sabindo di Tawau. – Gambar ishan Utusan online

TAWAU – Majlis Perbandaran Tawau (MPT) membenarkan penggunaan kawasan Batu-Batu di Sabindo sebagai tempat pendaratan dan mengambil penumpang dari Pulau Sebatik sehingga kerja menyelenggara jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) lama siap.

Alijus Sipil

Presiden MPT, Alijus Sipil dalam kenyataannya hari Rabu berkata kebenaran sementara berkenaan bermula hari ini dan berakhir pada 6 Mac.

Bagaimanapun, katanya hanya bot penumpang kecil yang berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga dibenarkan beroperasi di kawasan itu manakala aktiviti pemunggahan barang dalam kuantiti banyak tidak dibenarkan.

“Bot-bot besar dilarang sama sekali mendaratkan penumpang di kawasan itu dan masa operasi yang dibenarkan hanya dari pukul 6 pagi hingga 6 petang sahaja,” katanya.

Beliau berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira permintaan Anggota Dewan Undangan Negeri Sebatik Datuk Abdul Muis Picho yang telah menyampaikan masalah dihadapi penduduk Pulau Sebatik.

Mengulas lanjut, Alijus berharap semua agensi yang berkaitan membantu memantau pergerakan bot dan penumpang agar tidak ada pihak mengambil kesempatan dengan keputusan pembukaan sementara kawasan itu.

Penutupan kawasan Batu-Batu Sabindo sebagai kawasan pendaratan penumpang dari Pulau Sebatik dikuatkuasakan pada 5 Dis tahun lalu selepas operasi Terminal Feri CIQ Tawau yang baharu beroperasi sepenuhnya.

Selepas penutupan itu, penduduk dari Pulau Sebatik diminta menggunakan jeti CIQ lama namun kemudahan itu sedang diselenggara.