Batal Pulang Ke Kampung, Lima Sekeluarga Rai Raya Bersama

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Perancangan lima guru dan kakitangan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tawau beraya di kampung halaman masing-masing yang tergendala ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak menghalang mereka dari meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, di sini, hari ini.

AHMAD SYUKRI

Ustaz Ahmad Syukri Roslan, 36, sepatutnya dia sekeluarga pulang beraya ke Seremban, Negeri Sembilan pada 20 Mei lalu.

“Tiket sudah ditempah awal, namun terpaksa dibatalkan ekoran perlaksanan PKP sejak 18 Mac lalu.

“Namun, ia bukanlah sesuatu yang janggal memandangkan kami sudah enam kali beraya di Tawau, sejak saya bertugas di sini, 11 tahun lalu,” katanya.

Berbeza pula dengan guru Pendidikan Jasmani, Mohamad Naim Rosli, 29, anak jati Jengka, Pahang, apabila kali pertama beraya di perantauan bersama isteri dan anak sulungnya.

“Sudah tentu, kami teruja untuk pulang ke rumah terutamanya isteri, kerana tahun ini giliran beraya di kampung halamannya, Batang Kali, Selangor.

MOHAMAD NAIM

“Penerbangan pulang ke Semenanjung pada dijadualkan 21 Mei lalu, namun, umum mengetahui ia dibatalkan ekoran PKP,” katanya.

Tambah Mohamad Naim, walaupun sedih apabila tidak dapat beraya bersama ahli keluarga lain, dia tetap akur untuk mengutamakan keselamatan isteri dan anak mereka.

“Ia tidak bermakna kami tidak menyambut raya di sini, lebih-lebih lagi isteri membuat pelbagai persiapan termasuk membuat biskut raya.

“Justeru, mungkin suasana tidak akan seperti beraya di kampung halaman, namun ia tetap mencipta memori indah tersendiri buat keluarga kecil kami,” katanya.

Bagaimanapun, kesedihan dua guru tersebut sedikit terubat apabila pihak MRSM Tawau mengambil keputusan menganjurkan gotong-royong menyediakan juadah beraya bersama sejak beberapa hari lalu.

NIZAR IDRIS

Pengetuanya, Mohd Nizar Idris, 50, berkata, menjadi rutin tahunan pihaknya menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan guru atau kakitangan MRSM Tawau yang tidak pulang beraya di kampung halaman.

“Setiap tahun, kami akan mengadakan gotong-royong menyediakan juadah raya.

“Perancangan rapi akan dibuat termasuk membabitkan menu atau juadah raya mengikut selera dan kemahiran setiap keluarga,” katanya.

Menurut Mohd Nizar, walaupun hanya lima keluarga guru dan kakitangan, ia tidak menghalang mereka menghidupkan suasana hari raya.

“Memandangkan kami berasal dari negeri berbeza, maka juadah mengikut kebiasaan di tempat asal masing-masing.

Tambahnya, antara menu yang disediakan secara gotong-royong untuk sambutan hari raya kali ini adalah rendang Minang, lekor, oppo daging, lodeh, kerutuk itik dan buras.

“Selain itu, kami turut menyediakan ‘lemang viral’ yang mana dimasak dalam gelas kertas berbanding buluh akibat kekangan pergerakan akibat PKP.

“Sebaik selesai sembahyang hari raya di rumah masing-masing, kami berkumpul di laman rumah saya untuk jamuan raya bersama,” katanya.

Menerusi cara itu, Mohd Nizar percaya sekurang-kurangnya mereka dapat menghidupkan suasana hari raya dalam kakitangan dan guru MRSM Tawau.

“Mungkin kami tidak dapat beraya bersama keluarga di kampung halaman, tetapi kami boleh meraikan Aidilfitri bersama ‘keluarga’ di sini,” katanya.