Batal PSS: Kaedah Penyelesaian Baharu Akan Ambil Kira Pandangan Rakyat

643

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TENOM: Kaedah penyelesaian terbaru bagi membanteras isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk rakyat di negeri ini.

Demikian jaminan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony ketika mengulas mengenai pembatalan cadangan melaksana Pas Sementara Sabah (PSS).

Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM Malaysia) ini berkata, dalam menghormati pendirian rakyat Sabah yang mahukan pelaksanaan PSS dibatalkan, kaedah penyelesaian baharu perlu difikirkan.

“Kita harus mencari satu kaedah baharu menyelesaikan masalah PATI di Sabah.

“Saya percaya dalam masa terdekat ini, mungkin kita akan meminta  pandangan daripada rakyat negeri Sabah. Kita akan berinteraksi dengan masyarakat setempat di peringkat daerah untuk mengambil kira pandangan mereka.

“Saya percaya perlu ada satu keputusan yang boleh dicapai bagi membanteras isu PATI ini. Kita akan bekerjasama dengan semua pihak daripada kerajaan dan swasta, daripada rakyat Sabah dan juga pihak yang berwajib.

“Kita sedar bahawa masalah ini tidak boleh diselesaikan sekaligus namun, ia boleh diselesaikan secara berperingkat,” katanya bagi mengulas mengenai pembatalan PSS yang diumumkan Ketua Menteri kemarin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Papan Pelancongan di Stesen Keretapi Tenom dan tinjauan mesra di sekitar pekan Tenom sempena Tahun Baru Cina, di sini pagi tadi.

Menyentuh tentang usaha mempromosi Tenom sebagai destinasi eko pelancongan, Peter berkata, satu peta pelancongan daerah Tenom telah disediakan untuk memudahkan pelancong yang berkunjung ke daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap ini berkata, apabila pelancong turun dari keretapi, mereka akan diberikan peta destinasi menarik di Tenom.

Dengan itu, pelancong dapat melihat kedudukan destinasi menarik yang boleh mereka lawati. Ia termasuk kedudukan Rumah Kebudayaan Murut.

Beliau juga berharap papan pelancongan Tenom yang baru dilancarkan itu akan dapat membantu pelancong mendapat maklumat mengenai destinasi menarik di Tenom.