Batal Lesen Jika Jual Ikan Dibom – Junz Wong

156
Gambar internet.

KOTA KINABALU: Peniaga ikan yang didapati bersalah menjual ikan yang dibom bakal berdepan dengan pembatalan lesen perniagaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata, beliau telah mengarahkan pengurusan Lembaga Pemasaran Ikan Sabah (SAFMA) supay membatalkan lesen peniaga yang didapati bersalah menjual ikan yang ditangkap dengan cara mengebom.

JUNZ WONG

Beliau berkata, itu tindakan yang akan diambil bagi menunjukkan kerajaan nekad dalam menangani masalah pengeboman ikan di negeri ini.

Katanya, pengeboman ikan bukan sahaja diharamkan malah, aktiviti itu mengakibatkan kerosakan dan mendatangkan bahaya kepada hidupan marin dan manusia.

Malah, ia juga merosakkan terumbu karang dan ekosistem marin di dasar laut.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.

Baru-baru ini, satu operasi rampasan ikan telah dilakukan di Pasar SAFMA bagi mengenalpasti ikan yang ditangkap dengan cara pengeboman.

Operasi yang dijalankan bersama Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Sabah itu berjaya merampas 50 kilogram ikan yang bernilai RM700.

“Kita tidak akan bertoleransi dengan sebarang bentuk penangkapan ikan secara haram dan kita akan menangani isu ini sehingga ke akar umbi,” katanya.