Barisan Terbukti Gagal Selesai Masalah Bekalan Air Pedalaman Sabah

Oleh KEE HELMEY KEE ZAINAL
SOOK: Kerajaan Barisan Nasional terbukti gagal menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Sabah terutamanya bagi kawasan pendalaman sejak 50 tahun lalu kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan projek bekalan air pam solar dan graviti di Kg Magatang dan Kg Molosok, dekat sini baru baru ini.

Katanya, transformasi dalam pentadbiran perlu dilakukan oleh rakyat Sabah demi masa depan dan kesenangan generasi akan datang.

Click on the advertisement to know more.

“Rakyat di Sabah seharusnya menyedari kegagalan tampuk pemerintahan yang sedia ada kini, dan melakukan perubahan, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini merupakan peluang terbaik untuk melakukan perubahan demi menyelamatkan Sabah dan Malaysia,” katanya.

Beliau melahirkan rasa hairan bagaimana kampung yang terletak beberapa kilometer daripada Bandar Keningau masih tidak mempunyai bekalan air terawat.

Hasil usaha DAP Pensiangan dan Impian Sabah, kira-kira 1,000 penduduk Kg Magatang kini menikmati kemudahan tersebut.

250 penduduk Kg Molosok yang sebelum ini bergantung kepada takungan air hujan dan sungai juga boleh menarik nafas lega apabila projek pam air menggunakan tenaga solar berjaya dilaksanakan.

Kit Siang sejak Jumaat lalu mengadakan lawatan kerjanya ke Sabah bagi merasmikan empat projek bekalan air graviti yang dilaksanakan DAP Sabah melalui Impian Sabah di beberapa kampung iaitu Kg Pangas Ulu di Keningau, Kg Matagang di Sook, Kg Kelanaan di Melalap dan Kg Molosok di Dalit. – Roketkini