‘Bargaining Power’: Sendirian Atau Bekerjasama Dengan Parti Malaya?

HASMIN AZROY ABDULLAH

Oleh HASMIN AZROY ABDULLAH
KOMEN: Ada artikel ditulis secara panjang lebar menjawab soalan mudah saya iaitu “Jika kita tidak memerlukan parti Malaya, mengapa selepas PRU13, satu-satunya pemimpin yang melaungkan sentimen anti-parti Malaya ini akhirnya datang berjumpa Najib?”

2. Jawapan yang diberi hanyalah alasan biasa yang boleh dijawab oleh sesiapa saja sejak saya bertanya soalan ini tiga tahun lalu. Tiada jawapan baru atau penjelasan yang segar. Pusing-pusing pun alasan yang sama. Kononnya ia dilakukan atas kepentingan perjuangan hak Sabah dan ia tidak dapat dituntut jika tidak melalui Perdana Menteri.

3. Jawapan soalan pertama saya itu sudah memberikan kesimpulan yang juga pernah saya sebutkan beberapa tahun lalu bahawa ‘akhirnya kita bersetuju bahawa hak tuntutan hak Sabah ini masih memerlukan Malaya’. Jika sudah tahu hak Sabah tidak boleh dituntut tanpa melalui Perdana Menteri, mengapa tidak berkerjasama dari awal dengan pemimpin atau parti yang ada peluang menggantikan Perdana Menteri UMNO?

4. Saya diajar untuk membelek sejarah bagaimana hilangnya kuasa dan kedaulatan Sabah, iaitu perkara yang memang saya tekuni dan menyebabkan saya tekad melepaskan jawatan sebagai guru. Tetapi mereka lupa, kehilangan kuasa itu disebabkan oleh pemerintah Malaya dari dulu sehingga kini iaitu UMNO.

KERJASAMA DARI AWAL

Jika kita tahu UMNO punya angkara, apa logiknya meminta ehsan daripada Perdana Menteri UMNO? Sudah lebih tiga tahun sejak memorandum itu dihantar, mana satu hak Sabah yang dilaksana oleh Najib?

5. Soalan kedua saya, “Jika sudah tahu kita memerlukan Perdana Menteri dari Malaya dalam soal tuntutan hak Sabah, mengapa kita tidak bekerjasama dari awal dengan pembangkang Malaya agar kita boleh tukar Perdana Menteri dari parti UMNO yang merosakkan Sabah sejak penubuhan persekutuan Malaysia dan kita buka lembaran baru dengan Perdana Menteri dari kerajaan baru?”

6. Soalan ini pun dijawab dengan penjelasan yang sekadar memberikan justifikasi longgar dan tidak langsung menjawab pertanyaan. Katanya kita bersedia berkerjasama tetapi bersyarat. Malangnya, strategi politik yang dipegang oleh kumpulan yang mendakwa punya semangat Sabahan yang waja ini tidak pula menunjukkan kerjasama malahan terus menyebarkan sentimen anti-parti Malaya. Kontradiksi bukan?

7. Sejujurnya, sebelum pemimpin yang pernah saya kagumi sebagai pejuang hak Sabah itu menghantar memorandum hak Sabah kepada Najib, saya sangat percaya kepada kuasa ‘king maker’ dengan konsep ‘bargaining power’ secara bersendirian tanpa kerjasama dengan mana-mana parti Malaya.

Tetapi ‘bargaining power’ apa jika hanya 1 kerusi DUN pun datang jumpa Malaya. Itu sama saja dengan meminta kesian. Mana sudah kebanggaan sebagai ‘anak Sabah yang berdaulat’? Mana sudah semangat yang disemai bahawa Anak Sabah jangan tunduk pada kekuasaan Malaya. Kita mesti bangkit dan pulihkan hak kita. Mana sudah suara kekuatan itu yang pernah meremangkan bulu roma saya?

8. Akhirnya saya menyedari bahawa rakyat Sabah ditipu bulat-bulat. Hakikatnya, selagi dalam Persekutuan Malaysia, kita perlukan kerjasama dengan Malaya dalam konteks perjuangan hak Sabah. Saya setuju bahawa kerjasama itu perlu bersyarat. Tetapi biarlah berkerjasama dalam satu bentuk persefahaman yang bermaruah dan berintegriti. Jangan seperti talam dua muka.

Belum menang sudah isytihar akan sokong sesiapa saja yang menang di Putrajaya. Sudah tentu dalam konsep demokrasi, talam dua muka ini tidak akan mendapat kerjasama dan akhirnya bertembung di arena pilihanraya lalu rakyat sebagai penentunya. Data pilihanraya lalu menunjukkan talam dua muka ini tidak mendapat sokongan Sabahan secara keseluruhan.

‘BARGAINING POWER’

9. Mekanisme ‘bargaining power’ masih boleh digunakan walaupun berkerjasama dengan parti Malaya. Namun parti Sabah yang menjadi sebahagian daripada kerjasama itu mesti mempunyai aspirasi yang jelas iaitu menukar Kerajaan Putrajaya kerana asas kepada penolakan rakyat terhadap UMNO/BN ialah soal tadbirurus yang penuh ketirisan menyebabkan kos sara hidup meningkat.

Rakyat dibebani dengan kenaikan harga barang dan sistem percukaian yang membebankan. Oleh itu, mengekalkan UMNO/BN di Putrajaya bukanlah pilihan bagi rakyat secara keseluruhan hari ini.

10. Walaupun berkerjasama, kita masih mampu menggunakan kemenangan itu untuk ‘memaksa’ kerajaan baru di Putrajaya menunaikan hak Sabah. Ia masih juga menggunakan strategi ‘bargaining power’ tetapi dalam bentuk yang jelas dan bermaruah. Bukannya dalam keadaan yang terselindung dan masih memberi ruang kepada UMNO/BN untuk berkuasa.

Memang tiada jaminan bahawa sesiapa pun berkuasa di Putrajaya akan menunaikan hak Sabah, tetapi bukankah jika UMNO/BN terus berkuasa juga bukan jaminan hak Sabah dikembalikan? Kenapa tidak mencuba dengan kerajaan baru yang kita bantu untuk berkuasa?

11. Sama ada kita berkerjasama atau tidak dengan parti Malaya, kita tetap tahu bahawa atas nama tuntutan hak Sabah, kita masih memerlukan mereka dan buktinya sudah ditunjukkan oleh pemimpin hak Sabah yang menghantar memorandum itu.

Itulah garis bawah terhadap persoalan ini. Jika tahu perlu kerjasama, maka kita buatlah kerjasma dengan strategi jang jelas dan terhormat. Ini bukan soal hilangnya semnagat nasionalis Sabahan.

Ini soal menjadi pemimpin yang berintegriti dan dan jelas dalam setiap tindakan secara rasional tanpa berbohong dan berselindung atas nama perjuangan.

  • Hasmin Azroy Abdullah adalah Ketua Ikatan Muda PCS Nasional. ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya disahkan oleh BorneoToday