Barangan Bercukai Bernilai RM20,746 Ditahan di Labuan

107

Oleh SURAIDAH ROSLAN
LABUAN: Cubaan menyeludup keluar barangan bercukai bernilai RM20,746 dari Wilayah Persekutuan (WP) Labuan ke Menumbok berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin WP Labuan, di sini pada Rabu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, barangan itu ditahan dalam sebuah bot penumpang yang sedang dalam perjalanan dari WP Labuan ke Menumbok pada 6.10 petang.

Bot penumpang yang ditahan Pasukan Polis Marin yang menjalankan Op Gelora itu dikendalikan oleh seorang juragan warga tempatan berusia 27 tahun.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemukan barangan bercukai rokok jenama Pensil (MAS) sebanyak 75 carton (20,000 batang rokok) bernilai RM18,750.00 termasuk cukai serta barangan lain iaitu coklat pelbagai jenama bernilai RM1,996.10 yang belum dibayar cukai.

“Juragan, kru dan penumpang bot tidak mengaku barangan tersebut milik mereka.

“Kesemua barangan tersebut dirampas di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana cuba diseludup keluar dari WP Labuan tanpa membayar cukai.

“Barang rampasan yang keseluruhannya bernilai RM 20,746 itu di bawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin WP Labuan.

“Laporan polis di buat di Balai Polis WP Labuan dan barang rampasan dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah WP Labuan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Mohamad Pajeri berkata, Pasukan Polis Marin sentiasa mengatur gerak aset bersama pegawai dan anggotanya dalam menjalankan operasi dan rondaan di perairan bagi memastikan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras.

Justeru itu, kerjasama masyarakat setempat dalam menyalurkan maklumat jenayah sebegitu sangat diharapkan.