Barang Kawalan, Kosmetik Bernilai Lebih RM200,000 Dirampas

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau merampas pelbagai barang kawalan, kosmetik serta barangan runcit dengan nilai keseluruhan RM212,956 di Tanjung Saima, Pulau Sebatik pada Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, rampasan itu dilakukan terhadap sebuah bot kargo yang dipercayai cuba menyeludup keluar kesemua barangan berkenaan semasa ditahan pada jam 1.30 pagi.

Beliau berkata, bot kargo mencurigakan itu dikesan bergerak dari arah perairan Batu 3 menuju ke kawasan sempadan perairan Malaysia-Indonesia oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Cegah PATI Selatan.

“Pemeriksaan awal mendapati bot kargo itu dikendalikan seorang tekong lelaki warga tempatan berusia 32 tahun bersama seorang penumpang wanita warga tempatan berumur 35 tahun.

“Pemeriksaan dokumentasi terhadap barangan yang dibawa mendapati tekong gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa serta mengemukakan dokumen kastam yang meragukan.

“Selain itu, tekong juga didapati mengabaikan aspek keselamatan di laut kerana tidak mempunyai pelampung keselamatan dan alat pemadam api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penggeledahan menyeluruh ke atas bot kargo tersebut menemukan pelbagai barangan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran. Antaranya 1.6 tan gula pasir, 2.1 tan minyak masak berpaket, 3.4 tan tepung gandum, 17,64 set kosmetik pelbagai jenama dan barang-barang runcit campuran.

Pemeriksaan lanjut terhadap status pendaftaran set kosmetik tersebut mendapati pendaftarannya meragukan dan tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Justeru, kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin dan muatan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM212,956.

Kedua-dua suspek turut ditahan bersama bot serta muatan dan diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS) 2002.

Jelasnya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau boleh disalurkan ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999.