Bantuan Wang Ihsan Bantu Ringankan Bebanan Mangsa Kebakaran

623
Wan Azizah (tengah) bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew (dua kiri) melawat salah sebuah keluarga mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Putatan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PUTATAN: Seiring dengan langkah meringankan bebanan rakyat yang terlibat dalam kebakaran di negeri ini, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM96,850 bagi Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa-mangsa kebakaran di Sabah.

Peruntukan bantuan yang disalurkan melalui Pengurusan Bencana Negara itu akan diagihkan kepada mangsa-mangsa kebakaran di Pasir Putih Putatan dan Kampung Kerakit Pulau Banggi, Kudat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, peruntukan bantuan wang ihsan dan bantuan keperluan persekolahan kepada mangsa-mangsa yang terlibat diharap dapat membantu meringankan bebanan rakyat yang dilanda musibah bencana.

Beliau berkata, melalui bantuan itu setiap ketua isi rumah akan menerima sejumlah RM500 manakala setiap pelajar akan menerima RM150 seorang.

Wan Azizah (tiga kiri) menyampaikan bantuan keperluan persekolahan kepada salah seorang pelajar

”Bantuan ini bukanlah berbentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami oleh mangsa. Ini adalah sumbangan ikhlas kerajaan untuk meringankan beban yang dialami oleh mangsa,” katanya ketika berucap semasa Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa kebakaran, di Dewan Serbaguna Putatan, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Wan Azizah juga menasihatkan rakyat supaya sentiasa beringat akan punca-punca menyebabkan berlaku kebakaran.

”Kita perlu memastikan penyambungan elektrik dibuat dengan kaedah yang betul seperti yang ditetapkan oleh pihak berwajib agar kejadian seperti ini tidak berulang dan dapat dielakkan. Kelalaian semasa penggunaan peralatan elektrik juga adalah antara punca berlakunya kebakaran.

”Oleh itu, kita semua perlulah berwaspada akan risiko kebakaran di rumah masing-masing,” jelasnya.

Wan Azizah (tengah) menyampaikan cek replika Bantuan Wang Ihsan kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew (tiga kiri) sambil disaksikan oleh wakil rakyat dan pegawai kanan yang lain

Mengenai bencana banjir melibatkan sebanyak 2,981 orang mangsa di empat daerah di Sabah, Kerajaan Persekutuan amat peka dan bersimpati dengan kemusnahan yang terlibat dalam bencana sebegitu.

Menteri yang bertanggungjawab dalam Pengurusan Bencana Negara ini berkata, kerajaan juga telah memberi bantuan berjumlah RM7.23 juta di bawah peruntukan Kumpulan Wang Amanah bencana Negara kepada Kerajaan Sabah melalui agensi-agensi pelaksana bagi memperbaiki dan membina semula kemudahan infrastruktur yang rosak.

Beliau juga menasihatkan Sekretariat Bencana Negeri supaya bertindak lebih cepat dalam membantu mangsa-mangsa bencana tanpa menunggu Pengurusan Bencana Negara demi memastikan keselamatan mangsa terlibat bencana diberi keutamaan.

Katanya, dalam mengatasi masalah banjir di Kota Belud, projek khas pengorekan dan pengambilan batu dan pasir sungai bagi tujuan mendalamkan Sungai Kedamaian yang semakin cetek ekoran gempa bumi akan dilaksana oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.

Malah, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan sejumlah RM50 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedamaian dan RM17 juta untuk projek RTB Sungai Gurong-Gurong di Kota Belud yang sedang dilaksanakan. Ini sebagai tindakan jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir di daerah…