Bantuan tambahan RM500 bagi peniaga kecil Labuan kerana PKP, kata Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Seramai 1,300 penjaja dan peniaga kecil di bawah Perbadanan Labuan (PL) akan diberi bantuan sara hidup sejumlah RM500 secara sekali bayaran susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata kos keseluruhan bagi bantuan sara hidup ini berjumlah RM650,000.

“Seramai 774 daripada mereka yang berlesen juga dikecualikan bayaran sewa premis niaga meliputi Pasar Sentral Labuan (UTC), pasar malam, pasar tani, medan selera dan lot-lot kedai milik PL selama enam bulan bermula Mac 2020.

“Selain itu, 546 keluarga yang menghuni Perumahan Awam PL turut akan dikecualikan bayaran sewa selama enam bulan dengan kos keseluruhan tanggungan PL kira-kira RM1 juta,” katanya menerusi video siaran langsung di Facebook, hari ini.

Pihaknya menambah inisiatif baharu itu sebagai kluster ketiga di bawah Wilayah Cakna khusus kepada warga Labuan melalui PL bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, Annuar yang juga pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan berkata, Parlimen Kepong kini diklasifikasikan sebagai zon merah wabak COVID-10 dengan jumlah 75 kes setakat hari ini.

Ia menjadikan jumlah zon merah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak tiga kawasan, selain Lembah Pantai mencatat jumlah 226 kes dan Titiwangsa (64 kes), kebanyakannya dari kawasan Kampung Baru.

“Sepanjang tempoh PKP, kami turut bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Alam Flora dan Bomba menjalankan proses nyah cemar di sekitar ibu kota, khususnya bangunan bertingkat dan rumah pangsa untuk keselamatan warga kota,” katanya.

Mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf dan gelandangan perlu berhubung dengan Pusat Pengurusan Krisis di bawah JKKN Wilayah Persekutuan berpusat di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak.

“Kami ingin menyelaraskan penglibatan aktiviti oleh NGO kerana khuatir akan keselamatan mereka sepanjang PKP dan tidak boleh melaksanakan sendirian sepanjang PKP.

“Selain itu, pengurusan bekalan dapat dijalankan dengan mudah bagi mengelakkan daripada berlakunya pertindihan kawasan yang mana ada yang mendapat lebih banyak bantuan dan ada kawasan yang ketinggalan ataupun tidak cukup bekalan,” katanya.