Bantuan Rumah Dipertimbang Untuk Mangsa Kebakaran Kampung Contoh

PUTATAN: Kerajaan negeri akan melihat beberapa cara bagi membantu mangsa kebakaran Kampung Contoh, Petagas yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku malam kelmarin.

Ia termasuk mempertimbangkan pemberian rumah di bawah Program Perumahan Sabah Maju Jaya (SMJ) namun, ia bergantung kepada penilaian dan kriteria yang akan diambil kira.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya berkata, keraan akan mendapatkan butiran laporan secara terperinci terlebih dahulu bagi melihat bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa kebakaran yang terjejas.

Untuk jangka masa panjang, kerajaan mungkin boleh membantu menyediakan rumah di bawah Program Perumahan SMJ yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.

Kebakaran yang berlaku malam tadi membabitkan 17 ketua isi rumah yang terdiri daripada 76 mangsa dan kesemuanya warga Malaysia.

Pada masa ini, enam keluarga telah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Putatan.

Selepas insiden kebakaran semalam, sebahagian mangsa hanya tinggal di tapak kebakaran dan selebihnya menumpang rumah keluarga terdekat.

Malam kelmarin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melaporkan 10 buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Contoh, Petagas.