Bantuan RM300 Kepada Warga Emas, OKU & Ibu Tunggal Mula Diagihkan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sejumlah lebih RM18 juta daripada peruntukan Bantuan Prihatin Covid-19 Sabah untuk warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal telah mula dikreditkan ke akaun bank penerima.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmy Yahya berkata, daripada RM21 juta yang diperuntukkan dibawah kementeriannya, lebih RM18juta telah mula diagihkan kepada penerima melalui akaun bank masing-masing.

Bantuan secara one-off RM300 itu sudah mula dimasukkan ke dalam setiap akaun penerima yang berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM160juta di bawah Bantuan Prihatin Covid-19 Sabah yang diumumkan Ketua Menteri sebelum ini.

Katanya, bantuan RM300 di bawah kementerian lain juga sedang mula diagihkan kepada penerima mengikut sektor ekonomi berkaitan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Penyerahan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), di sini hari ini.

Mengenai bantuan bakul makanan pula, Shahelmy berkata, agihan bantuan itu mula diperluaskan kepada individu yang berdaftar di bawah e-Kasih sejak seminggu lalu.

Untuk individu yang kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai bantuan makanan juga boleh mendapatkan bantuan bakul makanan itu daripada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing.