Bantuan Perlu Untuk Pengusaha Pelancongan Di Sabah

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menzahirkan harapan agar Kementerian Pelancongan,  Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri dapat memberi dana langsung kepada pengusaha pelancongan yang berpangkalan di Sabah.

Presidennya,  Datuk Tan Kok Liang turut meminta lanjutan pakej rangsangan yang mampu memberi kelegaan kepada golongan B40 selain dapat mengelak kemungkinan pemberhentian lebih ramai pekerja dalam industri pelancongan.

“Bagi Sabah, tenaga kerja (dalam industri pelancongan) lebih daripada 30,000 pekerja. Peningkatan bilangan pemberhentian pekerja bukan saja menyebabkan kesukaran kepada isi rumah tetapi juga akan memberi kesan kepada permintaan domestik dan ekonomi, “katanya dalam satu sesi pertemuan bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, di sini.

MATTA adalah persatuan pelancongan yang mewakili kepentingan lebih daripada 3,600 ejen pelancongan berlesen (dilesenkan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

Sementara itu, Pengerusi MATTA Sabah, Lawrence Chin, berkata pihaknya meminta bantuan kerajaan negeri untuk mengurangkan kesan kewangan yang teruk disebabkan penularan COVID-19.

“Kami juga mencadangkan suntikan dana langsung RM10,000 bagi setiap syarikat berlesen untuk pembayaran segera,  utiliti dan sewa.

“Kami juga berharap

Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dapat memberikan dana langsung sebagai dorongan kepada pengusaha pelancongan di negeri ini,” katanya.

Ini kerana Chin berkata,  pengusaha dan agensi pelancongan telah mengalami keadaan yang teruk sejak 18 Mac lalu.

“Kami mengalami hampir tiada hasil sejak bulan Mac hingga September ini.  Namun,  kami mengekalkan kakitangan dengan harapan industri pelancongan akan pulih menjelang tahun depan,” katanya.

Sementara itu. Presiden  Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA), Datuk Seri Winston Liaw mencadangkan agar tempoh moratorium pinjaman dilanjutkan

selama enam bulan lagi.

Dalam masa sama,  beliau mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan

pemberian suntikan dana secara langsung dalam bentuk subsidi atau geran

kepada pemilik agensi pelancongan.

“Ia mungkin berjumlah RM10,000 atau RM20,000 atau RM30,000, bergantung kepada saiz syarikat, ” katanya.