Bantuan One-Off RM300 Untuk Golongan Terjejas PKP Di Sabah

KOTA KINABALU: Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan negeri memutuskan untuk memberi bantuan secara one-off (sekali bayar) RM300 kepada 324,661 orang penerima di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, bantuan secara one-off ini disalurkan melalui pelaksanaan Bantuan Prihatin Covid-19 2.0 dengan peruntukan berjumlah RM97.4 juta.

Penerima bantuan RM300 ini terdiri daripada golongan tersenarai dalam e-Kasih, kumpulan B40, anak yatim, warga tua, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, petani, nelayan, pekebun kecil, penternak, pemandu pelancong, malim gunung, porters, penggiat seni, pemandu teksi, pemandu bas, pemandu lori dan penjaja.

Manakala, sejumlah RM31.58juta diperuntukkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi perbelanjaan bakul makanan untuk penduduk Sabah yang diarahkan menjalani perintah kuarantin di rumah dan lokaliti yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, keseluruhan bantuan dibawah Bantuan Prihatin Covid-19 2.0 Sabah ini melibatkan peruntukan sebanyak RM128.98 juta.