Bantuan Makanan Di Pitas Dihantar Guna Helikopter

PITAS: Laluan utama yang terputus akibat banjir yang berlaku sejak awal minggu ini mendorong Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Pitas menggunakan khidmat helikopter bagi menghantar bantuan makanan.

Usaha penghantaran makanan giat dijalankan sejak pagi tadi bagi memastikan bantuan makanan sampai kepada penduduk terjejas banjir termasuk di Kampung Telaga.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah merangkap Pegawai Daerah Pitas, Bakri Nanun berkata, penghantaran bantuan makanan dihantar hari ini dengan menggunakan perkhidmatan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sabah.

“Dengan kerjasama polis, kita berjaya menghantar bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas dengan menggunakan perkhidamatan udara (helikopter),” katanya.

Sebanyak empat tempat digunakan sebagai lokasi pendaratan helikopter iaitu Padang  Sekolah Kebangsaan (SK) Liau, SK Malubang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telaga dan SK Maringgan.