Bantuan Khas RM1,000 Untuk Penjawat Awam Sabah

KOTA KINABALU: Penjawat awam Sabah akan menerima bantuan khas setengah bulan gaji dengan kadar minima RM1,000 yang dibayar pada Januari 2022.

Bantuan itu membabitkan 20,271 orang penjawat awam termasuk penjawat awam sementara, kontrak dan pekerja sambilan harian (PSH).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pemberian bantuan khas itu sebagai komitmen kerajaan negeri memberi semangat kepada penjawat awam di Sabah untuk terus memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Di peringkat persekutuan, bantuan khas berjumlah RM700 kepada penjawat awam persekutuan turut diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membiayai kerja-kerja awalan pembinaan perumahan mampu milik kepada penjawat awam negeri.

“Insentif ini diharap akan memberi suntikan semangat kepada penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya semasa pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2022 hari ini.