BANTUAN KHAS MUSIM MONSOON KEPADA PEKEBUN KECIL GETAH DI NEGERI SABAH

2171
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong meminta Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan supaya pembayaran Bantuan Khas Musim Monsoon kepada pekebun kecil getah diberikan juga kepada semua pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Datuk Junz Wong berkata demikian sebagai reaksi kepada pengumuman yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia berkaitan dengan peruntukan Bantuan Khas Musim Monsoon sebanyak RM600.00 kepada pekebun kecil getah RISDA di seluruh Negara.

“Kini terdapat seramai 70,594 orang pekebun getah iaitu 51,949 pemilik ladang dan 18,645 penoreh getah yang telah berdaftar dengan Lembaga Industri Getah Sabah,” maklum Datuk Junz.

JUNZ WONG

Datuk Junz juga meminta supaya kriteria bantuan hanya diberi kepada pekebun kecil getah yang mengusahakan tanah berkeluasan tidak melebihi 2.5 hektar, tidak digunapakai di Sabah.

“Ini hanya sesuai digunapakai di Semenanjung Malaysia sahaja dimana keluasan kebun getah petani adalah di bawah 2.5 hektar,” jelas Junz.

Junz berkata, “di Sabah, keluasan kebun-kebun getah milik pekebun kecil adalah tidak melebihi 6.0 hektar, maka kriteria yang digunakan untuk Sabah perlu diubah kepada tanah yang berkeluasan tidak melebihi 6.0 hektar.”

Di Sabah terdapat 6,055 pekebun kecil yang menyertai projek penanaman getah di bawah RISDA. RISDA Sabah beroperasi atas jemputan Kerajaan Negeri dengan jaminan pihak RISDA dapat membantu melaksanakan tanam semula getah secara individu sahaja.

Manakala LIGS bertanggungjawab sepenuhnya untuk membangunkan industri getah dengan melaksanakan blok-blok tanam semula getah, tanam baharu getah, latihan pekebun kecil, pembelian getah pekebun kecil, pemprosesan getah dan penjualan getah standard Malaysia (SMR).

Pada tahun 2017/2018, Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dengan peruntukan daripada Kementerian Industri Utama telah disalurkan kepada pekebun kecil di Sabah melalui LIGS.

“Untuk tujuan ini saya telah menulis surat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Dato Seri Azmin Ali, supaya Bantuan Musim Monsoon ini juga disalurkan kepada pekebun kecil getah di Sabah melalui LIGS.