Bantuan Kewangan RM19.7juta Untuk Sekolah Cina – Hajiji

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM19.7 juta kepada sekolah Cina  termasuk sekolah persendirian, tadika, tokong dan persatuan Cina di Sabah, di sini hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata bantuan kewangan itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan GRS sentiasa mengutamakan keadilan dalam semua aspek termasuk memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan keseluruhan sejumlah RM43 juta kepada sekolah iaitu melibatkan sekolah bukan Islam di Sabah (RM18 juta) badan keagamaan (RM25 juta) untuk tahun 2020,” katanya dalam majlis penyerahan bantuan kewangan kerajaan negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM13.5 juta diberikan kepada sekolah iaitu membabitkan tujuh sekolah menengah jenis kebangsaan Cina sebanyak RM2.1 juta; sembilan sekolah menengah persendirian Cina sebanyak RM3.65 juta; diikuti RM6.92 juta untuk 83 sekolah jenis kebangsaan Cina dan RM801,500 untuk 142 tadika.

Bagi tujuan pembangunan dan pembaikan tokong pula, sejumlah RM5.29 juta telah diluluskan yang membabitkan sebanyak 145 tokong di seluruh Sabah.

Turut diluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta kepada beberapa persatuan Tiong Hua di negeri Sabah untuk menjalankan aktiviti mereka sempena Tahun Baharu Cina.

Hajiji berkata sebuah jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan oleh Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kerajaan Negeri bagi Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan untuk meneliti permohonan yang diterima daripada berbagai badan keagamaan dan sekolah bukan Islam di seluruh Sabah.

“Semoga dengan bantuan kewangan yang diagihkan atas keprihatinan kerajaan negeri ini, dapat sedikit sebanyak meringankan beban dalam membangun dan membaiki sekolah serta rumah ibadat yang terbabit.

“Ini sekaligus akan memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan Islam di peringkat akar umbi,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam;  Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah Tan Sri David Chu, selain beberapa pemimpin persatuan Cina di Sabah.

Hajiji kemudian diiringi Masidi yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur dan Safar, untuk menyampaikan sumbangan bantuan itu kepada wakil penerima.