Bantuan kepada mangsa kebakaran di Kg Karamunting sudah digerakkan

249
23 buah rumah di kawasan seluas dua ekar musnah dalam kebakaran di Kg Karamunting Baru, Sandakan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal sudah mengarahkan agensi berwajib supaya membantu menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal sementara untuk mangsa kebakaran di Kampung (Kg) Karamunting Baru, Sandakan.

Beliau berkata, bantuan kepada mangsa kebakaran sudah mula digerakkan.
”Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk VK Liew sudah mula memberikan bantuan.

“Saya juga sudah mengarahkan agensi berwajib dan sukarelawan dalam Parti Warisan Sabah diperingkat akar umbi untuk membantu menyediakan makanan, pakaian serta tempat tinggal kerana keperluan itu yang paling diperlukan mangsa pada ketika ini.

”Walaupun kesihatan dan keselamatan yang paling penting untuk mereka, namun buat sementara waktu ini keperluan makanan, pakaian serta tempat tinggal itu lebih diperlukan,” katanya ketika ditanya mengenai bantuan kepada mangsa kebakaran di Kg Karamunting Baru, Sandakan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Jemaah Menteri & Kerajaan Negeri Sabah, di Menara Tun Mustapha, di sini pada Ahad.

Mohd Shafie berkata, pihak berkaitan juga telah diarahkan untuk melihat bantuan dan keperluan yang mangsa-mangsa ini perlukan pada kemudian hari.

Pada petang Sabtu, 23 buah rumah di kawasan seluas dua ekar musnah dalam kebakaran di Kg Karamunting Baru, Sandakan.