Bantuan Kepada Majikan IKS Perlu

ROSSHILAH WAGEN

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Dewan Perniagaan dan Pembangunan Usahawan Bumiputera Sandakan ( DPPUBS) menggesa kerajaan memberi bantuan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti jaminan bantuan kepada pekerja yang secara realiti tidak melakukan pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bendahari Agung DPPUBS, Rosshilah Wagen, berkata wujud beberapa persoalan dalam kalangan usahawan tempatan IKS berhubung

pengenalan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

Katanya, bantuan RM600 untuk membantu majikan membayar upah pekerja dalam tempoh tiga bulan bukanlah angka mencukupi, sebaliknya cuma sebahagian kecil daripada kos pekerja yang perlu ditanggung majikan.

“Persoalannya sekarang bagaimana majikan harus membayar baki gaji pekerja dalam keadaan syarikat yang tidak beroperasi sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa?

“Kebanyakan perniagaan PKS bergantung sepenuhnya terhadap jualan harian sebagai sumber pendapatan dan keputuaan kerajaan melanjutkan tempoh PKP sudah pasti memberi impak cukup besar terhadap operasi perniagaan majikan,” katanya di sini, hari ini.

Rosshilah berkata, mereka juga bimbang terhadap nasib usahawan jika hilang keupayaan untuk membayar gaji pekerja akibat PKP kerana tidak digalakkan memberhentikan atau meluluskan cuti pekerja, sebaliknya perlu membayar gaji biarpun tidak bekerja.

“Kita juga tertanya adakah cuma dibenarkan tidak membayar gaji pekerja apabila syarikat diisytihar muflis dan wajarkah majikan dikenakan sebarang tindakan atau kompaun?

“Kita berharap isu ini diambil serius kerana majikan juga adalah rakyat biasa dan apa juga bentuk bantuan haruslah diagihkan secara adil dan saksama,” katanya.

Sehubungan itu, Rosshilah berkata, DPPUBS mencadangkan agar bantuan dalam bentuk bukan liabiliti ditawarkan kepada majikan termasuk suntikan modal berbentuk dana tunai khas yang disesuaikan dengan kos operasi bulanan yang perlu ditanggung majikan seperti gaji pekerja, sewa premis perniagaan atau bil utiliti sebagai langkah mengurangkan beban aliran tunai semasa perniagaan.

“Bagi memastikan dana tunai ini sampai secara efektif, kita sarankan agar kerajaan meletakkan syarat untuk setiap ahli IKS mendaftar sebagai pembayar cukai supaya selepas ini kesahihan perbelanjaan dan pendapatan tahunan IKS dapat dilakukan,” katanya.

DPPUBS turut mencadangkan agar bantuan dana tunai menyeluruh kepada semua IKS dibuat secara one-off dengan dana tunai boleh dikategorikan mengikut pendapatan bersih tahunan.

“Jika bantuan secara dana tunai kepada IKS mustahil untuk dilaksanakan, kita harap kerajaan benarkan pihak majikan beri cuti tanpa gaji kepada pekerja selama tempoh PKP kerana ianya secara tidak langsung mengurangkan beban kos operasi majikan,” katanya.