Bantuan Kaunseling Kepada Pelajar Trauma Akibat Bot Karam

18

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU : Kementerian Pelajaran dan Inovasi melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan memberi bantuan kaunseling kepada 28 pelajar yang trauma susulan kejadian bot karam di perairan Sandakan baru-baru ini.

Menteri Pelajaran Dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, bantuan itu bertujuan untuk memastikan proses pembelajaran pelajar-pelajar tersebut tidak terjejas.

“Kita bersimpati dengan peristiwa yang berlaku di Sandakan di mana bot yang membawa pelajar-pelajar ke sekolah telah pun mengalami kemalangan akibat perlanggaran bot.

“Di situ melibatkan 28 pelajar, dua pelajar sekolah tingkatan enam, enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiong Hua dan selebihnya dari SMK Sandakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Kementerian Pelajaran dan Inovasi, semalam.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, meskipun kemalangan tidak diduga sering berlaku, namun aspek keselamatan juga tidak harus diabaikan.

“Kemalangan ini biasa berlaku di mana-mana juga dan kita harus meningkatkan proses keselamatan dan menjadikannya sebagai keutamaan.

“Pertama sekali, pastikan bot tidak melebihi muatan dan kedua, bot tersebut haruslah mempunyai jaket keselamatan.

“Ketiga, pemandu itu juga mesti bertanggungjawab kepada penumpang yang dibawanya. Misalnya, sekiranya ada masalah seperti ini, mereka haruslah bertanggungjawab,” jelasnya.

Terdahulu, bot yang dinaiki 37 penumpang iaitu 28 pelajar dan sembilan orang awam karam selepas berlaku perlanggaran.

Jenazah Allahyarham Koperal Asman Ongkal, 37, yang hilang di laut selepas menyelamatkan mangsa bot karam berhampiran Jeti Pasar Umum Sandakan ditemukan pukul 6.22 petang, semalam.