Bantuan Covid-19 Sabah Tidak Pinggirkan Rakyat Miskin – Ben Chong

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Pemimpin di negeri ini rata-rata menyambut baik Pakej Bantuan Covid-19 yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Ben Chong berkata, bantuan secara one-off kepada keluarga miskin tegar dan golongan B40 dilihat sebagai langkah tepat membantu mengurangkan bebanan golongan ini.

Beliau, yang juga Pembantu Menteri Perdagangan & Perindustrian berkata, di peringkat daerah Kudat, mereka akan cuba menyelaras pemberian bantuan itu dengan sebaiknya agar tiada golongan miskin tegar dan B40 yang tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.

Katanya, di Kudat sahaja, terdapat kira-kira 1,133 orang penduduk yang tersenarai dalam e-Kasih maka, beliau melalui Pejabat Daerah Kudat akan memastikan golongan ini tersenarai sebagai penerima.

Menurutnya, dalam memastikan proses agihan bantuan berjalan lancar, Pejabat Daerah Kudat akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan tidak ramai orang berkumpul di satu tempat.

“Kami sudah berbincang pagi tadi tentang persediaan yang akan diambil bagi membolehkan proses agihan bantuan ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Apabila proses agihan bantuan secara tunai diberikan, kami akan meletakkan garisan bagi memastikan jarak selamat satu meter dipatuhi.

“Kami juga akan menghadkan jumlah penerima dalam satu-satu masa agar tidak ramai yang berkumpul di kaunter pengagihan bantuan,” katanya ketika dihubungi.

Ben berkata, memandangkan hari ini penjawat awam menerima gaji, maka pihak berkuasa dan polis turut diarah berkawal di pasar raya dan bank bagi memastikan orang ramai menjaga jarak selamat satu meter dan tidak berkumpul terlalu ramai di dalam bank mahupun pasar raya.

Katanya, kemasukan jumlah pelanggan ke dalam pasar raya dan bank dihadkan demi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Beliau turut merasa bersyukur kerana setakat ini Kudat masih belum mencatatkan sebarang kes Covid-19 dan beliau berharap keadaan itu kekal sampai bila-bila.

Atas sebab itu, beliau menyarankan kepada penduduk Kudat supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  yang kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Ben berkata, lanjutan PKP itu diputuskan oleh kerajaan demi kebaikan rakyat dalam membendung penularan jangkitan wabak Covid-19.

Maka, semua rakyat perlu patuh kepada perintah berkenaan supaya rantaian penyakit berjangkit itu dapat diputuskan sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengumumkan sejumlah RM670 juta di bawah Pakej Bantuan Covid-19 bagi membantu rakyat yang terjejas di negeri ini.

Melalui pakej itu, sejumlah RM20juta diperuntukkan bagi pemberian khas secara one-off sebanyak RM500 kepada ketua isu rumah miskin tegar.

Manakala, sejumlah RM80 juta diperuntukkan bagi pemberian khas secara one-off sebanyak RM300 kepada golongan B40.