Bantu Selesai Masalah Air Di Sepanggar

Mohd Jeffrey menyuarakan masalah air yang membelenggu penduduk di kawasan Sepanggar dalam sidang media di pejabatnya di Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta tampil untuk membantu  menyelesaikan masalah air yang menjejaskan lebih 5,000 penduduk di kawasan Sepanggar.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela), Datuk Seri Mohd Jeffry Rosman berkata, tindakan segera perlu diambil bagi menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk sekitar sejak beberapa bulan lalu.

“Perkara ini sudah dirujuk kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Masalah ini membebankan lebih 5,000 penduduk dan sudah berlanjutan sejak beberapa bulan lalu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Jalan Lintas, di sini, hari ini.

Mohd Jeffry berkata, beliau difahamkan, ada usaha catuan air disalurkan di beberapa penempatan perumahan di kawasan berkenaan namun masih tidak mencukupi.

“Masalah ini memberi kesan sangat mendalam bukan saja kepada penduduk setempat tetapi juga golongan peniaga di kawasan terbabit.

“Saya sudah berhubung dengan pihak JANS dan mereka memberikan alasan terdapat masalah dengan kontraktor selain beberapa kejadian paip pecah berikutan pembangunan lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Mohd Jeffry berharap, perkara itu dapat diselesaikan dengan tindakan daripada pihak berkaitan.

“Apa yang penting sekarang adalah mencari jalan penyelesaian lebih-lebih lagi bulan ramadan bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.