Bank Jepun, Mizuho Bank Mahu Beroperasi Di Sabah

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Potensi ekonomi Sabah terus mendapat kepercayaan daripada syarikat antarabangsa selepas institusi kewangan Jepun, Mizuho Bank menyatakan hasrat bekerjasama dengan Sabah Development Bank (SDB) untuk membantu menarik pelabur dari negara matahari terbit itu melabur di negeri ini.

SHOJIRO MIZOGUCHI

Ketua Pegawai Eksekutif Mizuho Bank (Malaysia) Berhad, Shojiro Mizoguchi berkata, kerjasama tersebut membolehkan Mizuho Bank menjadi pemudah cara dengan membawa masuk pelabur dari Jepun ke Sabah dan menyediakan kemudahan kredit kepada mereka.

Katanya, hasrat berkenaan telah disampaikan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika melakukan kunjungan hormat di pejabat beliau pagi ini.

“Saya baru berjumpa dengan Ketua Menteri, kami berbincang tentang potensi perniagaan di sini, kami sebagai bank dari Jepun telah beroperasi di Malaysia selama 30 tahun di Kuala Lumpur, justeru kami mahu membantu menarik pelabur ke Sabah.

“Maka kami mahu membina kerjasama dengan Sabah Development Bank (SDB) dan bina rangkaian di sini, ini yang dibincangkan dengan Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan tersebut di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah hari ini.

Shojiro berkata, Mizuho Bank telah beroperasi di Malaysia selama 30 tahun, namun ini adalah kali pertama institusi kewangan itu merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan memilih Sabah sebagai lokasi utama.

Katanya, Mizuho Bank boleh menjadi jambatan kepada syarikat-syarikat dari Jepun yang mahu melabur ke Sabah untuk memanfaatkan sumber alam yang kaya di negeri ini.

“Pertama ialah bagaimana menjemput pelabur dari Jepun dan kedua menyediakan transaksi kredit dengan kerajaan negeri atau SDB serta beberapa  perkara lagi, kami mahu mempunyai sesuatu di Sabah.

“Kami mahu mengembangkan perniagaan di Malaysia, kami mahu menyumbang lebih banyak dan sebab itulah kami datang ke Sabah,” katanya.

Mengulas tentang keadaan semasa Covid-19 yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi, katanya, Sabah merupakan antara negeri yang berjaya mengawal wabak berkenaan dengan baik.

“Keadaan di sini lebih baik daripada Jepun terutama di Sabah, saya melalui kaunter Imigresen sebelum ini dan mendapati mereka ada kawasan khas untuk menguruskan Covid-19, jadi wabak itu diurus dengan baik,” jelasnya.