Banjir Semakin Buruk, 1,421 Orang Mangsa Banjir Dipindahkan

KOTA KINABALU: Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 1,421 orang setakat jam 8 malam tadi.

Setakat ini, 1,421 mangsa daripada 495 keluarga dipindahkan ke 17 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di empat daerah iaitu Kota Marudu, Kudat, Paitan dan Pitas.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan daerah yang paling teruk terjejas adalah Kota Marudu dengan seramai 806 orang daripada 353 keluarga dipindahkan ke PPS.

Daerah kedua yang terjejas teruk adalah Kudat yang memperlihatkan seramai 381 orang mangsa daripada 77 keluarga dipindahkan ke PPS.

Mangsa yang paling ramai ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sikuati dengan seramai 322 mangsa daripada 71 keluarga.

Sementara itu, seramai 147 mangsa daripada 41 keluarga dipindahkan di Paitan manakala, di Pitas seramai 79 orang dari 21 keluarga dipindahkan ke PPS.

Kawasan sering dilanda banjir di negeri ini mula dinaiki air susulan hujan lebat yang berlaku sejak semalam sehingga awal pagi tadi.

Berdasarkan pemantauan, trend air meningkat kepada paras bahaya maka, penduduk di kawasan berisiko perlu segera dipindahkan ke PPS dan kawasan selamat.