Banjir Sabah: OKU Berdepan Kesukaran Bergerak

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Setiap kali musim banjir, menumpang rumah saudara terdekat satu-satunya pilihan yang ada bagi Emly Syme Sinidol, 38 yang tinggal di Kampung Kawari.

Namun, keadaan kesihatan Orang Kelainan Upaya (OKU) ini tidak mengizinkannya untuk bergerak apatah lagi untuk berpindah ke rumah saudaranya pada musim banjir kali ini.

Beliau berkata, semasa banjir pada Jun tahun lalu, mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah saudara berdekatan.

“Ini kali kedua rumah kami terjejas banjir berikutan air sungai naik. Pada Jun tahun lalu, memang barangan elektrik banyak yang rosak akibat banjir, kira ‘total lost’.

“Disebabkan itu, pada banjir kali ini, kami memindahkan barang-barang yang ringan ke tempat yang tinggi apabila air mula masuk ke dalam rumah pada 3 pagi tadi,” katanya.

Emly berkata, sejak semalam mereka tidak dapat tidur kerana berjaga-jaga sekiranya banjir mula memasuki rumah. Hujan lebat berterusan mengakibatkan kampung mereka dilanda banjir.

Katanya, banyak rumah yang tidak lagi boleh diakses kerana jalan utama telah ditenggelami banjir. Jika banjir berlanjutan, banyak lagi penduduk kampung yang memerlukan bantuan untuk bergerak keluar ke tempat selamat.

“Apa yang sukar adalah tiada pusat pemindahan banjir bersesuaian di kampung ini dan ia menyebabkan penduduk di sini terpaksa berada di rumah atau menumpang di rumah saudara sekiranya tiada pemindahan dilakukan oleh agensi berkaitan,” ujarnya.

Katanya, sekiranya hujan berterusan dan banjir berlanjutan untuk tempoh yang lama maka, mereka terpaksa mencatu makanan sekiranya bantuan makanan lambat sampai.

“Berdasarkan pengalaman lepas, hanya selepas seminggu banjir surut barulah bantuan barang keperluan sampai kepada penduduk di sini,” jelasnya.

Diharap kali ini, pemantauan akan dilakukan lebih pantas agar keluarga yang benar-benar terjejas banjir dapat dibantu dan dipindahkan sekiranya perlu.