
KOTA KINABALU: Banjir yang melanda Tenom dan Sipitang menyaksikan lebih kurang 500 mangsa ditempatkan di beberapa pusat pemindahan setakat 12 tengah Isnin malam.
Di TENOM, seramai 276 orang ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir selepas kediaman mereka dinaiki air setakat 10.30 malam tadi, kata Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layapan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 198 mangsa ditempatkan di Rumah Kebudayaan Ponontomon manakala 78 lagi ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Terbuka Labut, Kampung Labut Dua.

“Pusat Operasi Bencana daerah Tenom beroperasi 24 jam sejak 3 petang Isnin.
Kita menasihatkan penduduk kampung dan orang ramai di sekitar daerah Tenom, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir, agar bersedia berpindah ke tempat selamat apabila tanda-tanda banjir berlaku,” katanya.
Madiyem berkata setakat 10.25 malam tadi, paras air Sungai Padas berada pada paras bahaya 177.07 meter.
Di SIPITANG, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir Dewan Serbaguna Sipitang meningkat kepada 181 orang daripada 55 keluarga berbanding 109 orang daripada 30 keluarga petang tadi.

Angkatan Pertahanan Malaysia dalam kenyataannya terkini berkata jumlah kampung terjejas banjir di daerah itu juga meningkat kepada lapan buah berbanding lima kampung petang tadi manakala jalan dinaiki air pula meningkat kepada lapan berbanding sebatang jalan petang tadi.
Tiga kampung yang terjejas adalah Kampung Sungai Tiga, Mesapol Lama dan Naluyan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang bergegas ke lokasi itu sejurus menerima panggilan pada jam 6.57 pagi tadi.
Katanya, operasi pemindahan turut dibantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) menggunakan tiga kenderaan dan dua bot.
“Semua yang terjejas dipindahkan ke surau Kampung Sungai Tiga dan dewan serba guna Sipitang.

“Jalan menuju ke kampung itu turut terjejas dan tidak boleh dilalui kenderaan kecil,” katanya, di sini, sebentar tadi.
Di TONGOD, seramai 10 keluarga terpaksa berpindah ke rumah keluarga masing-masing selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Entilibon Asal.
Banjir dipercayai mula melanda kira-kira jam 1 pagi tadi, susulan pertembungan air pasang dan hujan di ulu Sungai Milian.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Telupid/ Tongod, Amrin Amirun, berkata pihaknya menerima laporan penduduk pada jam 1.18 pagi.
Katanya, tiada pusat pemindahan dibuka berikutan banjir semakin surut dan laluan ke kampung berkenaan sudah boleh dilalui semua jenis kenderaan pagi ini.

Di RANAU, jalan utama Ranau-Sandakan terputus selepas jalan raya di Kilometer 5, Ranau-Sandakan, runtuh akibat hakisan bawah jalan.
Kejadian dipercayai berlaku malam tadi susulan banjir kilat yang melanda sekitar kawasan itu bermula kira-kira jam 8 malam.
Pegawai Daerah Ranau, Faimin Kamin, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi jalan kini dalam proses membaiki laluan itu.
Faimin berkata, banjir kilat di kawasan itu berlaku selepas hujan lebat petang semalam, namun tiada laporan mengenai sebarang kemalangan.