Banjir Kilat, Tanah Runtuh Di Kota Kinabalu, Penampang

KOTA KINABALU: Hujan lebat yang berterusan sejak tengah hari tadi menyebabkan beberapa kawasan di Sabah dilanda banjir kilat dan tanah runtuh.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam satu kenyataan memaklumkan, 14 kampung/kawasan mula dinaiki air sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.

Antara kawasan dinaiki air adalah Kampung (Kg) Kolopis, Kg Baru Luyang, Bundusan, JPJ Bundusan, Kg Nambazan, Kg Tuavon dan Kg Sugud.

Satu kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Segumau Madsiang, Jalan Penampang-Tambunan.

Sementara itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang turut dibuka pada 3.30 petang tadi bagi menempatkan mangsa terjejas banjir.

Berdasarkan perkongsian video tular dalam media sosial, tanah runtuh yang berlaku di Segumau Madsiang menyebabkan tiga buah kereta turut terjatuh.

Di Papar, kawasan Pekan Kinarut serta Taman PPR Segindai turut dinaiki air.