Banjir Kilat Melanda Kampung Rancha-Rancha Labuan Ekoran Hujan Lebat

87

LABUAN: Hujan lebat selama enam jam sejak 9 malam tadi telah menyebabkan banjir sehingga paras pinggang melanda Kampung Rancha-Rancha Darat di pulau bebas cukai ini.

Sekurang-kurang lima rumah penduduk terjejas akibat banjir kilat itu yang merosakkan harta benda seperti kenderaan dan perabot rumah.

Seorang penjawat awam Mohd Rezuan Abd Hassan, 39, berkata kejadian banjir kilat itu mengancam keselamatan keluarganya kerana keadaan menjadi semakin serius saban tahun.

Beliau mengesyaki banjir itu berpunca daripada pembangunan dipersekitaran yang tidak mengambil berat aspek perparitan berhampiran kampung tersebut selain daripada ketiadaan penyelenggaraan sistem perparitan.

Mohd Rezuan berkata banjir itu disedari oleh isterinya yang bangun pada 12 tengah malam untuk membuat susu bagi anaknya yang berumur setahun.

“Ketika itu air telah naik setinggi 0.6 meter (dua kaki) dan saya segera menyelamatkan isteri serta tiga anak saya ke rumah saudara mara berhampiran yang tidak terjejas kerana bimbang paras air semakin meningkat,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Rasid Jaludin, 55, berkata beliau dan isterinya sedang tidur apabila dikejutkan oleh bunyi bising di luar rumah dan apabila menjenguk keluar rumah beliau mendapati air telah naik sehingga paras pinggang dan sekeling rumah menjadi seperti kolam ikan.

Beliau dan isterinya kemudian segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Rasid yang bekerja sendiri berharap pihak berwajib dapat segera menyelesaikan masalah longkang sebuah projek perparitan terbengkalai berhampiran dan parit yang tersumbat dan setiap kali hujan lebat air akan melimpah masuk ke perkampungan itu.

Ketua Kampung Rancha-Rancha Awang Damit Bakar berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkenaan seperti Perbadanan Labuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi membantu menyelesaikan masalah penduduk.