Banjir Kilat Landa Pangkalan Salung, Nabawan

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
NABAWAN: Hujan lebat yang berlaku sejak petang semalam menyebabkan kampung Pangkalan Salung dilanda banjir kilat pagi tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 68 penduduk  telah terjejas, namun tiada pemindahan dilakukan.

Menurut kenyataan itu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.39 pagi ekoran banjir kilat di kawasan tersebut daripada Pegawai Daerah Nabawan, Virus Malitam.

Tambah kenyataan itu, pasukan bomba mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit untuk tiba ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian penduduk kampung melaporkan bahawa hujan yang turun berterusan bermula sejak petang semalam menyebabkan air mula naik pada pukul 4.40 pagi dan mengakibatkan beberapa buah rumah terjejas termasuk lima buah kenderaan pacuan empat roda yang telah ditenggelami air,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga melaporkan khidmat nasihat turut diberi kepada penduduk kampung agar memastikan berada di kawasan tinggi sekiranya berlaku hujan lebat berterusan.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan paras air telah mula surut semasa pasukan bomba meninggalkan tempat kejadian pada pukul 3 petang tadi.