Banjir Kilat Berpunca Daripada Masalah Parit

Oleh ARDYHANSAH AMAT
BEAUFORT: Masalah penyelenggaraan parit dikesan menjadi punca utama ratusan penduduk terjejas selepas banjir kilat melanda Kampung Lamat Laut, di sini, hari ini.

Jurucakap Sekreteriat Pengurusan Bencana Daerah Beaufort berkata, sebuah kampung terjejas dalam kejadian itu yang melibatkan 24 buah rumah.

“Sehingga pukul 4 petang tadi, kampung berkenaan terputus hubungan akibat hujan lebat yang menyebabkan limpahan air Sungai Lumat berlaku.

“Lebih memburukkan keadaan tiada penyelenggaraan parit dilakukan di situ menyebabkan banjir kilat berlaku,” katanya.

Katanya, setakat ini tiada mana-mana penduduk yang dipindahkan.

“Setakat ini, tiada bacaan paras air Sungai Lumat dicatatkan berikutan ketiadaan alat pengukur,” katanya.

Hanya Sungai Membakut mencecah kedalaman 6.20 meter iaitu melebihi aras amaran 5.60 meter.

“Pihak berkuasa akan memantau keadaan air sungai dan banjir di kawasan tersebut dari semasa ke semasa bagi berdepan sebarang kemungkinan berlaku,” katanya.