Banjir Di 3 Daerah Di Sabah, Ratusan Penduduk Mula Dipindahkan

2544
Pasukan Bomba dan Penyelamat membawa kanak-kanak dan bayi ke Pusat Pemindahan Banjir di Kota Marudu. – Gambar-gambar ihsan BOMBA Kota Marudu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Hujan lebat yang turun sejak Jumaat menyebabkan tiga daerah di negeri ini dilanda banjir.

Daerah-daerah terlibat adalah Kota Belud, Kota Marudu dan Pitas.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat diramalkan berterusan sehingga Ahad (27 Jan). Kawasan terlibat adalah Tambunan, Ranau, Kota Belud, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Kudat.

Di Kota Marudu, seramai 576 orang penduduk terpaksa dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan setelah 12 buah kampung terjejas akibat banjir.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Sabah memaklumkan enam pusat pemindahan itu adalah Dewan Kampung (Kg) Longob, SK Taritipan, Dewan Mosolog, Dewan SMA Goshen, Dewan Kg Morion, Dewan ST Theresa dan PTC Damai.

Kawasan terjejas banjir itu termasuklah Kg Longob, Kg Belianjung, Kg Maragatung, Kg Salimandut, Kg Masalog, Kg Damai, Kg Parong, Kg Popok Laut, Kg Gurantung, Kg Garada, Kg Morion, Kg Taritipan.

Katanya, Jalan Gana KM5.7, Jalan Utama Kota Marudu-Pitas dan Jalan Kg Damai mula ditenggelami air dan tidak boleh dilalui.

Sementara itu, di Kota Belud, sebanyak 15 kampung terjejas banjir dan 11 pusat pemindahan telah dibuka.

Kampung yang terlibat adalah Kampung (Kg) Siasai Tamu, Kg Kota Belud, Kg Bobot, Kg Ejuk, Kg Menunggui, Kg Lebak Engad, Kg Sembirai, Kg Lingkodon, Kg Donggoi, Kg Marajah, Kg Lebak Moyoh, Kg Sadok Sadok, Kg Taun Gusi Keranjangan, Kg Gunding dan Kg Linau.

Sebanyak dua jalan terputus dan tidak boleh dilalui kenderaan iaitu Jalan Kg Liau dan Jalan Kg Lingkodon.

Pasukan sukarelawan dari Wira dan Wirawati Warisan telah menggerakkan anggota mereka bagi membantu menyediakan makanan dan minuman kepada mangsa banjir.

Hujan lebat berterusan sejak Jumaat menyebabkan paras air di tiga sungai utama di Kota Belud naik mendadak.

“Pihaknya bersama agensi lain akan terus melakukan pemantauan di lokasi banjir dan mengawal selia Pusat Kawalan Bencana. APM juga akan memberi amaran awal kepada masyarakat melalui aplikasi Saifon dan Dashboard Komuniti,” kata jucukapa APM Sabah.

Sementara itu, di Pitas sembilan kampung terjejas banjir iaitu Kg Sumbilingon, Kg Pandan Mandamai, Kg Bilangau Besar, Kg Lugu, Kg Salimpodon Darat, Kg Mandamai Bai, Kg Sosop Bai, Kg Lugu dan Kg Pondoi.

Dalam perkembangan lain, Wira dan Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) telah menggerakkan anggota mereka bagi membantu menyediakan makanan dan minuman kepada mangsa banjir.

Sehingga kini, mereka berjaya mengutip RM5, 000 sumbangan daripada orang ramai bagi membantu mangsa banjir di daerah berkenaan.