Banjir Di Tenom, Beaufort Kian Pulih, 685 Mangsa Di 6 PPS Setakat 4 Petang Tadi

KOTA KINABALU : Banjir yang melanda Tenom dan Beaufort semakin pulih apabila bilangan mangsa bencana alam itu yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 685 orang dari 219 keluarga berbanding 1,653 orang melibatkan 626 keluarga semalam.

11 PPS juga telah ditutup hari ini menjadikan hanya 6 PPS yang masih beroperasi.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sabah, seramai 333 mangsa banjir
membabitkan 124 keluarga ditempatkan di 4 PPS di Tenom manakala seramai 352 orang dari 95 keluarga ditempatkan di 2 PPS di Beaufort.

Katanya, 4 PPS yang dibuka di Tenom ialah Dewan Mini Jinuin Jimin yang menempatkan 139 mangsa banjir, Rumah Kebudayaan Batu-Batu (123 mangsa); Rumah Kebudayaan Pantagon Saga (47 mangsa); dan Dewan Kampung Kalang Kanar yang dihuni 24 mangsa banjir.

Sementara itu, 2 PPS yang dibuka di Beaufort ialah di Dewan Selagon yang menempatkan 218 mangsa banjir dan Dewan DSP Dun Banir yang menempatkan 134 mangsa bencana alam itu.

Secara keseluruhannya sebanyak 56 kampung di Beaufort dan 22 kampung di Tenom terjejas banjir sejak 9 Mei lalu.

Sementara itu, 12 sekolah di Beaufort dan Tenom masih ditutup akibat banjir hari ini.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata ia membabitkan 11 sekolah kebangsaan (SK) dan sebuah sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC).

Katanya 9 daripada sekolah terjejas adalah di daerah Beaufort manakala selebihnya di daerah Tenom.

Penutupan sekolah itu melibatkan seramai 1,975 murid dan 215 guru katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mistirine, 9 sekolah yang ditutup di Beaufort adalah SK Lago, SK Bangkalalak, SK Garama, SK Mempagar, SK Suasa, SK Lupak, SK Jabang dan SK Pintas serta SJKC Lian Hwa.

Manakala 3 sekolah yang ditutup di Tenom ialah SK Gumisi, SK Ladang Sapong dan SK Inubai.