
KOTA KINABALU – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah menutup bekalan elektrik di beberapa buah kampung di Pitas ekoran pencawang elektrik di kawasan berkenaan ditenggelami air, akibat banjir hari Rabu.
Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) SESB, Chendramata Sinteh berkata penutupan bekalan elektrik itu dibuat bermula pukul 5 pagi melibatkan lebih 500 pengguna di 18 kampung di daerah berkenaan bagi keselamatan pengguna.
“Bekalan elektrik mula dipulihkan secara berperingkat bermula pukul 4 petang tadi (Rabu),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pihaknya akan terus memantau situasi banjir di kawasan yang terlibat bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.
Sementara itu, satu lagi pusat pemindahan dibuka di Pitas menjadikan dua pusat pemindahan beroperasi setakat ini apabila mangsa banjir meningkat kepada 274 orang membabitkan 63 keluarga sehingga 3.40 petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin berkata pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Terbuka Kampung Bilangau dibuka bagi menempatkan 36 keluarga terdiri daripada 40 lelaki, 39 wanita, 31 kanak-kanak lelaki dan 29 kanak-kanak perempuan.

“Sebanyak 27 keluarga membabitkan 25 lelaki, 27 wanita, 42 kanak-kanak lelaki dan 41 kanak-kanak perempuan pula ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Rukom,” katanya dalam kenyataan.
Muliadi berkata Sungai Kebatasan dan Sungai Bengkoka mencatatkan bacaan pada paras bahaya kerana hujan berterusan sejak malam tadi.
“Sungai Kebatasan menunjukkan bacaan 6.35 meter (m), melebihi paras bahaya enam meter; manakala Sungai Bengkoka menunjukkan bacaan 4.04 meter (paras bahaya empat meter).
“Sepuluh kampung terlibat iaitu Kampung Bilangau Besar, Kampung Rukom Ulu, Kampung Sinasak Batu, Kampung Sibaung, Kampung Kusilad, Kampung Pandan Mendamai, Kampung Salimpodon Darat, Kampung Pinggan-Pinggan, Kampung Indah dan Kampung Dandun,” katanya.
Aktiviti pemantauan akan terus dijalankan di kampung yang terjejas dan kampung berisiko dilanda banjir, katanya.
Dalam perkembangan lain, tujuh sekolah rendah di Pitas terpaksa menangguhkan hari kedua sesi persekolahan 2017 selepas dilanda banjir berikutan hujan berterusan sejak malam semalam (Selasa).
Pengarah Pendidikan Datuk Maimunah Suhaibul berkata enam sekolah ditutup kerana laluan ke sekolah dinaiki air, manakala sebuah sekolah lagi ditutup untuk dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.
“Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan Mandamai; SK Sosop; SK Pinggan-Pinggan; SK Mandurian; SK Pinapak; SK Nibang dan SK Rukom membabitkan 1,203 murid dan 131 guru,” katanya kepada Bernama.
Maimunah berkata Jabatan Pendidikan Negeri akan sentiasa memantau keadaan di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Maimunah berkata, pengetua dan guru besar boleh menutup sekolah masing-masing jika berlaku banjir dengan memaklumkan perkara itu kepada jabatan sebagai memastikan semua warga sekolah berada dalam keadaan selamat.