Banjir, 59 Penduduk di Kota Marudu Dipindahkan ke PPS

KOTA MARUDU : 59 orang dari 20 keluarga di sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Komuniti Kota Marudu setelah kediaman mereka di Kampung Kuranji dan Kampung Ongkilan Laut, Kota Marudu, dilanda banjir, pagi Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat @ Hajaing berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir di 2 kampung berkenaan, jam 11.07 pagi.

Katanya sepasukan bomba dikerah ke kampung berkenaan untuk membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir.

Katanya, operasi memindahkan penduduk melibatkan 44 mangsa banjir dari 15 keluarga di Kampung Kuranji.

Manakala di Kampung Ongkilan Laut, 15 mangsa banjir dari 5 keluarga, dipindahkan.

Kesemua mangsa termasuk 11 kanak-kanak dan 4 bayi di pindahkan ke PPS Dewan Komuniti Kota Marudu menggunakan lori dan kenderaan pacuan empat roda.

“Pasukan bomba masih menjalankan pemantauan di sekitar kawasan terlibat dan maklumat akan di kemaskini dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.