Banjir: 24 Sekolah Di Beaufort, Tenom Ditutup, Lebih 4,500 Pelajar Terjejas

TENOM: Banjir yang melanda daerah Beaufort dan Tenom sejak semalam menyebabkan 24 sekolah di dua daerah berkenaan, terpaksa ditutup hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Dr Mistirine Radin berkata penutupan itu melibatkan 4,526 pelajar dan 474 guru.

Katanya, 17 sekolah ditutup di Beaufort manakala 7 sekolah lagi ditutup di Tenom.

Penutupan sekolah di Beaufort melibatkan sebuah sekolah menengah, sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 15 Sekolah Kebangsaan (SK).

Antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul, SJKC Lian Hwa, SK Lago dan SK Pekan Membakut.

Manakala sekolah yang ditutup di Tenom melibatkan 5 SK dan 2 SJKC.

Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai Kampung Baru Durok, Keningau, Sabtu lalu, ditemukan lemas di Beaufort, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Al Sharil, ditemui orang awan dalam keadaan terapung di Sungai Padas Kampung Labi Gadong, kira-kira 98 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Mangsa ditemui jam 3.50 petang sebelum dilaporkan kepada pihak bomba kira-kira 5 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima laporan itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bergegas ke lokasi.

“Pasukan bomba kemudian mengambil mayat terbabit dan diserahkan kepada pihak polis.

“Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Forensik Hospital Beaufort, untuk tujuan pengecaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, Sabtu lalu, mangsa dilaporkan hilang ketika mandi di sungai berkenaan bersama keluarganya.