Banjir, 13 Orang Dipindahkan Bomba

KENINGAU: 13 orang dari 2 keluarga di Kampung Bunsit, Keningau, dipindahkan ke kawasan lebih selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), malam tadi, akibat banjir.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.19 malam dan mengerahkan 8 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau ke lokasi yang terletak 8 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba seterusnya melakukan operasi memindahkan 13 orang mangsa ke rumah saudara mara terdekat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut jurucakap itu, selain Kampung Bunsit, turut dilanda banjir adalah Kampung Minansut dan Kampung Tongkugon.

“Pasukan bomba turut melakukan pemantauan banjir di Kampung Linggawon, namun tiada pemindahan mangsa dijalankan. Keadaan paras air di seluruh kawasan terjejas di daerah Keningau dilaporkan semakin surut.”

Operasi ditamatkan pada jam 12.23 malam tadi.