Bangunan Kolej Matrikulasi Labuan Dalam Keadaan Uzur

64

LABUAN: Bangunan Kolej Matrikulasi Labuan yang menjadi kebanggaan penduduk pulau ini suatu ketika dahulu kini dalam keadaan uzur dan memerlukan pembelaan pihak berwajib.

Menurut laporan Bernama banyak struktur bangunan kolej itu mula reput dimamah usia termasuk dewan kuliah, asrama lelaki dan dewan pelajar yang boleh membahayakan kira-kira 3,000 pelajar di kolej itu.

“Siling di sebahagian bangunan juga banyak yang rosak dan bocor manakala bilik kuliah pula 70 peratus dalam keadaan menyedihkan dengan kerusi dan meja yang patah serta pintu yang telah reput.

“Kebocoran juga berlaku pada paip air dan sistem pendawaian elektrik bangunan juga telah usang dan perlu dibuat pendawaian semula manakala pintu bilik air dan tandas asrama lelaki banyak yang sudah reput dan tercabut,” kata seorang pegawai kolej itu yang enggan dikenali ketika lawatan Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli ke kolej itu hari ini.

Beliau berkata lif di bangunan pentadbiran empat tingkat dan bangunan kuliah lapan tingkat memerlukan pembaikan kerana cuma empat daripada lapan lif yang masih berfungsi.

Katanya keadaan yang menyedihkan itu berlaku kerana kurangnya kerja-kerja penyelenggaraan terhadap bangunan yang sudah berusia 17 tahun ini iaitu sejak kolej itu beroperasi pada Mac 2002.

Sementara itu Rozman berkata lawatannya adalah ekoran keluhan ibu bapa serta orang ramai terhadap keadaan yang menyedihkan di kolej ini.

Bercakap kepada Bernama Rozman berkata beliau telah menyuarakan tentang kedaaan kolej ini ketika sesi persidangan Parlimen yang lepas dan telah menerima jawapan Kementerian Pendidikan bahawa skop kerja-kerja penyelenggaraan terhadap kolej ini telah dicadangan untuk dilaksanakan tahun ini oleh Jabatan Kerja Raya dengan kos RM3.9 juta.

Mengulas mengenai lawatan itu Rozman berkata beliau melihat banyak kemudahan di kolej ini seperti asrama, pusat akademik dan dewan berada dalam keadaan uzur dan menyedihkan serta tidak selamat bagi pelajar.

“Saya melawat kemudahan pelajar lelaki dan saya percaya kemudahan bagi pelajar perempuan juga mengalami masalah yang serupa.

“Saya berharap masalah keuzuran bangunan kolej ini yang merupakan pusat pembelajaran yang dibanggakan penduduk Labuan mendapat perhatian segera pihak berwajib untuk kepentingan para pelajar,” katanya.