Bangunan ILP Labuan Dijadikan Pusat Kuarantin COVID-19

LABUAN: Bangunan Institut Latihan Perindustrian (ILP) disini telah diwartakan sebagai Pusat Kuarantin COVID-19 Labuan.

Bangunan pusat latihan perindustrian itu sesuai berikutan lokasinya yang terletak berhadapan dengan Hospital Labuan.

Sebelum ini, Gerak Kerja COVID-19 dibawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan yang dipengerusikan oleh ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman mencadangkan dewan badminton di Komplek Sukan Labuan sebagai pusat kuarantin.

Namun berikutan ketiadaan kemudahan dapur, di dewan berkenaan, bangunan ILP telah diputuskan sebagai Pusat Kuarantin COVID-19 Labuan.

Pusat kuarantin ini akan menggunakan katil sedia ada di asrama ILP itu bagi menempatkan pesakit-pesakit dibawah siasatan (PUI) jangkitan COVID-19.

Tinjauan hari ini mendapati pusat kuarantin itu telah dibersihkan dan disembur nyah kuman, dan akan mula menempatkan pesakit-pesakit di bawah siasatan bermula esok petang.

Dianggarkan 30 lebih pesakit dibawah siasatan yang dikuarantin di Hospital Labuan akan dipindahkan di pusat kuarantin ini.

Manakala pesakit-pesakit yang dikuarantin dirumah yang dianggarkan lebih 400 lebih orang akan secara berperingkat dipindahkan ke pusat ini.

Pusat kuarantin ini dikawal selia oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jabatan Kesihatan akan berperanan dalam aspek perubatan keatas pesakit-pesakit.