Bangunan Baharu SM Lok Yuk Kudat Dijangka Siap Hujung Tahun

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Setelah hampir 49 tahun, akhirnya Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk bakal menerima sebuah bangunan baharu yang dijangka siap dalam tempoh lima bulan dari sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Ben Chong berkata, pembinaan bangunan baharu itu merupakan bangunan tambahan untuk menampung peningkatan bilangan pelajar yang semakin bertambah di sekolah tersebut.

Beliau juga berharap, penyiapan blok yang baru itu akan memberi manfaat kepada pelajar, disamping akan mampu meningkatkan kualiti pembelajaran dengan adanya suasana bilik darjah yang lebih kondusif.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Baharu SM Lok Yuk, Kudat, di sini hari ini.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian ini turut melahirkan penghargaan terhadap pengurusan SM Lok Yuk kerana terus komited dan bekerja keras untuk memenuhi permintaan keperluan pendidikan di daerah tersebut.

Bangunan baharu itu dijangka siap pada 15 Disember ini dan ia melibatkan perbelanjaan hampir RM1 juta.

Bangunan blok Tingkatan Enam setinggi dua tingkat itu akan menempatkan lapan buah kelas apabila siap kelak. Ia termasuk kelas aliran kemanusiaan bagi Tingkatan Enam.