Bangun Industri Pembuatan Kapal Akan Diteliti – Ketua Menteri

67

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melakukan penelitian secara mendalam mengenai langkah membangunkan industri pembuatan kapal di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah menerima pelbagai cadangan pelaburan termasuk dari China dan Turki.

Katanya, kunjungan hormat daripada pelabur dari Istanbul, Turki pada hari ini menyatakan minat mereka untuk membangunkan sektor perkapalan di Sabah.

Beliau berkata, Sabah memang memerlukan prasarana (kapal) sebegini memandangkan Sabah merupakan negeri perdagangan dan penggunaan kapal serta bot amat diperlukan.

”Namun kita akan mengambil kira dan meneliti semua pandangan dan cadangan. Apabila tiba masanya, kita akan membuat keputusan,” katanya.

Menurutnya, dalam mengalu-alukan kemasukan pelabur asing ke Sabah, kerajaan akan sentiasa berhati-hati. Kerajaan harus memilih pelaburan yang dapat memberi manfaat kepada Sabah termasuk dalam menyediakan peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

Mohd Shafie berkata, kunjungan hormat itu adalah susulan lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Turki pada Julai lalu.

Sementara itu, Koordinator Pembangunan Perniagaan Istanbul Shipyard Dr Gunay Uzun berkata, syarikat itu berminat bekerjasama dalam membangunkan industri pembuatan kapal di Malaysia termasuk Sabah.

Beliau berkata, syarikat yang mempunyai keupayaan dalam rekaan kapal itu mahu melihat Malaysia mampu membina kapal dengan hasil kerja jurutera tempatan pada masa hadapan.

Katanya, sebagai sebuah negara yang penting dan berada dalam kedudukan yang strategik di Asean, kerjasama dalam pembangunan industri pembuatan kapal itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Turki.