Bangkai Penyu Agar Ditemui Di Pantai Pohon Batu, Labuan

444

LABUAN: Bangkai seekor penyu agar yang juga dikenali  sebagai  penyu  hijau ditemukan di Pantai Pohon Batu di sini  dengan usus didakwa dikeluarkan dari perut.

Spesis haiwan laut terancam itu ditemukan oleh  penduduk Kampung  Pohon Batu  Manikar pagi  semalam dan terus melaporkan penemuan itu kepada Jabatan Perikanan pada 1.15 petang hari yang sama.

Penemuan itu mengejutkan pihak Taman Laut Labuan, aktivis pemuliharaan  penyu  serta penduduk  kampung yang menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap sebarang unsur pemburuan haram  penyu  bagi telur dan daging.

Pengarah Jabatan Perikanan Labuan Faizal Suhaili Ibrahim berdasarkan siasatan  awal tidak  menunjukkan  perbuatan  khianat namun siasatan menyeluruh akan dilakukan.

“Suasatan awal menjunjukkan tiada kerosakan pada cengkerang penyu itu  dan kes itu telah dirujuk kepada Pusat Ekosistem Marin Kementerian Perikanan  di Rantau Abang Terengganu.

“Saya telah berbincang dengan para pegawai TUMEC mengenai perkara itu namun mereka mengatakan agak sukar  untuk menentukan punca penyu itu mati kerana bangkainya  telah reput  yang menghalang proses mengambil spesimen,” katanya.

Faizal berkata kertas siasatan telah dibuka dan meminta orang ramai serta nelayan menyalurkan maklumat  kepada pihak jabatan.

Diklasifikasikan sebagai menghadapi bahaya kepupusan, penyu agar menghadapi ancaman  pencurian telur, pemburuan haram dan tersangkut di jaring nelayan.