Banduan Mati Dalam Penjara KK, Lapan Warden Ditahan

827
Gambar internet oleh CEphoto, Uwe Aranas

EKSKLUSIF/RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Lapan warden penjara termasuk seorang pegawai ditahan polis semalam bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang banduan di Penjara Pusat Kota Kinabalu dengan kesan hentakan di bahagian kepala.

Gambar Facebook

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan semalam selepas satu laporan polis dibuat di Balai Polis Karamunsing pada 4 Oktober lalu oleh salah seorang warden penjara yang membawa mangsa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk menerima rawatan.

Kata sumber itu, pada 4 Oktober lalu, pengadu menemukan mangsa terbaring tidak sedarkan diri di dalam sel tahanannya lalu menghantarnya ke Jabatan Kecemasan HQE1 untuk dirawat.

Difahamkan, mangsa yang merupakan warga tempatan berumur 36 tahun dan berasal dari Ranau telah ditahan di penjara itu sejak dua tahun lalu.

“Pihak hospital segera memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa, namun disahkan telah meninggal dunia akibat kesan hentakan dipercayai menggunakan objek tumpul di bahagian kepala,” katanya.

“Kesemua suspek ditahan di Lokap Berpusat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk siasatan dan proses reman,” kata sumber itu kepada Borneo Today.