Balai Polis Penampang Banjir, Urusan Tergendala

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Hujan lebat yang turun sejak petang semalam turut menyebabkan Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang dilanda banjir.

Dengan itu, sebarang urusan di Balai Polis Penampang akan tergendala sementara sehingga dibuka kelak apabila keadaan banjir semakin surut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim menerusi laman Facebook rasmi IPD Penampang memaklumkan, sebarang urusan di Balai Polis Penampang tergendala berikutan beberapa kelengkapan fasiliti ditenggelami air.

Berikutan keadaan banjir yang berlaku, beliau menasihatkan penduduk sekitar daerah itu dan Putatan untuk menjaga keselamatan diri ketika musim banjir.

Mohd Haris turut memantau keadaan banjir di beberapa lokasi pagi tadi bersama petugas polis yang menjaga lalu lintas di kawasan banjir sekitar Donggongon.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, beberapa jalan utama sekitar Penampang telah dinaiki air.’

“Oleh itu, pengguna jalan raya diminta untuk berhati-hati ketika melalui kawasan banjir serta patuh kepada arahan semasa daripada pihak berkuasa.

“Untuk sebarang pertanyaan mengenai perkembangan banjir serta kawasan terlibat boleh menghubungi Bilik Gerakan Operasi Bencana Daerah Penampang ditalian 088-726054,” katanya.