Balai Bomba Mini Akan Dibina Di Bukit Timbalai, Labuan

LABUAN: Sebuah balai bomba dan penyelamat mini dengan kos antara RM3 juta dan RM5 juta akan dibina di Jalan Bukit Timbalai di sini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan Ismaidi Ismail.

Katanya balai bomba itu akan dibina di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

“Adanya balai bomba Kelas D dengan 21 kakitangan itu akan mempercepat respons kecemasan di kawasan Jalan Bukit Timbalai dan kampung-kampung berdekatan iaitu Kiamsam, Sungai Miri serta Bedaun yang pada masa ini menerima perkhidmatan daripada Balai Bomba Layangan,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Senator Bashir Alias di pejabat senator itu, hari ini.

Ismaidi berkata Jalan Bukit Timbalai memerlukan sebuah balai bomba bagi menampung keperluan susulan perkembangan pesat sektor perkhidmatan berkaitan minyak dan gas di pulau berkenaan.