Bakakuk, Peluru; 4 Warga Emas Antara 8 Lapan Ditahan Di Ranau

146
Zaini menunjukkan pelbagai jenis senjata yang dirampas.

KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan lapan individu termasuk empat warga emas dalam serbuan yang dijalankan di daerah Ranau dipercayai terlibat dalam pembuatan serta pembelian senjata api buatan sendiri pada 6 dan 7 Ogos lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata polis membuat serbuan ke sebuah rumah dua tingkat pada 6 Ogos jam 2.30 pagi di Kampung Kinaratuan, Ranau dan menahan dua lelaki di dalam rumah berkenaan.

Beliau berkata dalam serbuan itu juga membawa kepada penemuan stor penyimpanan peralatan membuat senjata api di belakang rumah berkenaan dan sebuah pondok terletak kira-kira 150 meter dari rumah itu.

“Di pondok itu, polis turut menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai barangan senjata api yang tersimpan di pondok berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Zaini menunjukkan senjata Bakakuk buatan sendiri yang dirampas.

Zaini berkata seorang daripada suspek itu dipercayai menjalankan aktiviti membuat, menjual senjata api buatan sendiri sejak 25 tahun lalu dengan hanya meniru daripada senapang dan pistol tiruan yang dijual antara RM800 hingga RM2,800.

Katanya pada hari yang sama, polis juga membuat serbuan di Kampung Debut, Bundu Tuhan dan Kapatahan dan menahan tiga lelaki.

Sementara pada hari berikutnya, seorang lelaki ditahan di pondok pengawal kem Lok Kawi dan seorang di Kampung Lohan, Ranau.

Zaini berkata semua lelaki warga tempatan yang ditahan itu berumur lingkungan 29 hingga 83 tahun, bagaimanapun warga emas itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata dalam operasi selama dua hari itu polis berjaya merampas pelbagai peralatan senjata api buatan sendiri antaranya termasuk lapan laras senjata bakakuk, sembilan laras senapang angin, selaras senjata guli buatan sendiri, sepucuk pistol buatan sendiri, sepucuk revolver dan pelbagai jenis peluru antaranya jenis 5.56mm.

“Semua senjata akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk menentukan keaslian (senjata) itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 iaitu penalti kerana berdagang senjata api. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang enam kali.